Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
1) Perkara Halal dan Haram adalah jelas :
Yang Halal ialah sesuatu yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik dll. Manakala yang haram seperti minum arak, babi, judi, zina dan riba dll. Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya
melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.
2) Perkara-perkara Syubhat :
Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya dan ia adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi demi menjaga maruah diri dan keheningan agama. Dengan ertikata yang lain, syubhat ialah yang tidak ada nas padanya. Ianya berlaku dalam ibadah, muamalat dan kehidupan seharian kita.
3) Bila berhadapan dengan syubhat :
Tinggalkan perkara tersebut untuk mengelakkan dosa dan mendapat redha Allah. Jika berlaku syubhat pada pandangan orang tapi tidak pada kita, ia mesti dijelaskan supaya hilang syubhat tersebut. Meninggalkan syubhat adalah ciri sifat wara’ dan tanda kesempurnaan iman.
4) Sempadan murka Allah :
Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah. Sekiranya Allah murka akan rosaklah kehidupannya dunia akhirat
5) Peranan Hati :
Banyak ayat ditujukan pada hati (hadis - aqal terletak dihati). Hati yang berpenyakit maka jihadnya ialah dengan mengikut petunjuk Allah. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya. Justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain. Penyakit fizikal manusia juga adalah berpunca daripada hati. Bermula daripada kerosakan hati itulah merebak hingga merosakkan jasad seluruhnya disebabkan oleh penyakit-penyakit yang diketahui ataupun tidak. Bagi perawat sebelum merawat penyakit fizikal maka ubatilah hati terlebih dahulu untuk mendapat kesembuhan yang haqiqi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan