Halaman

Sabtu, 3 Disember 2011

AKHLAK DAN ADAB PERAWAT

lmu perawatan merupakan salah satu ilmu yang sangat berguna dan diperlukan manusia hari ini. Maka Islam meletakkan hukum mempelajari dan mengadakannya adalah ‘Fardhu Kifayah’. Oleh kerana mulia dan perlunya ilmu ini, islam menyarankan pada pengamalnya supaya menghiasinya dengan akhlak dan adab Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi bagi pengamal ‘Thibbun Nabawi’ kerana di situlah dakwah dan cermin masyarakat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Adab dan akhlak ini boleh kita bahagikan kepada 3 kategori iaitu adab perawat dengan Allah, adab perawat dengan perawat atau perubatan yang lain dan Adab perawat dengan pesakit.

Diantara adab-adab perawat dengan Allah ialah:

1.Niat ikhlas kerana Allah

   Kasih sayang Allah bagi sesiapa yang berusaha untuk mengingatiNya sebagai Tuhan yang mencipta dan penentu segala-galanya. Allah Berfirman “Ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingati mu..”. Hidup dengan mengingati Allah dan kekasihNya Rasulullah SAW, mudah-mudahan akan membawa kebahagian di Mahsyar kelak.

2.Niat untuk menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW.

  Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW adalah satu perjuangan. Walaupun tidak 100% mampu kita laksanakan, namun dengan niat itu menggambarkan kesungguhan dan keazaman kita untuk mengasihi dan menyayangi Rasulullah SAW. Qaedah Feqah menyatakan “Sekiranya kita tak mampu untuk melakukan semuanya, maka jangan tinggalkan semuanya” . Lakukan apa sahaja amalan sunnah yang termampu di lakukan walaupun kecil.

3.Menjaga solat 5 waktu dan solat sunat

  Solat adalah tiang agama. Terlalu banyak hadis-hadis sohih yang mengancam mereka-mereka yang meninggalkan solat. Sehingga ancaman dari Allah dengan perang, kufur dan neraka bagi mereka. Lebih lagi perawat yang membawa bendera ‘Thibbun Nabawi’ sekiranya tidak solat maka ia telah mengkhianati agamanya dan menjerumuskan perubatan yang mulia kepada kehinaan.

4.Mengamalkan amalan Rasulullah SAW dan amalan waktu pagi dan petang

  Amalan yang di ajar dan diamali oleh Rasulullah SAW seperti ayat-ayat Al-Quran,  Selawat Ibrahimiah, doa-doa dan lain-lain yang. Rasulullah SAW mengajar kita membaca ‘Bismillah’ dan doa pada setiap perbuatan kita. Begitu juga amalan pagi dan petang seperti yang terkandung di dalam Al-Ma’thurat. Begitu juga seperti yang telah disusun oleh ulama’ yang muktabar seperti Ratib Haddad, Ratib Imam Nawawi, Hizib Bahar dan lain-lain. Semuanya adalah untuk kesejahteraan ummat Baginda SAW.

5.Bersangka baik pada Allah

   Penyakit yang paling famous pada Perawat ialah ego dan sangka buruk. Bangga dengan kehebatan cara rawatan, berkemahiran, ilmu rawatan yang luas kesembuhan yang serta merta, semua ini adalah ujian pada perawat. Perawat yang bertaqwa akan mengitkan semuanya pada Allah. Semua yang di atas adalah ciri2 penyakit hati dan rohani. Antara cara yang paling berkesan untuk mengubatinya ialah bersangka baik pada Allah dan mengagungkan Allah. Yakin bahawa apa yang Allah berikan pada kita adalah ujian. Di setiap musibah ada kebaikan di sebaliknya. Dengan sangkaan yang baik itulah yang Allah akan lihat dan ambil kira. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Qudsi,
Allah berfirman “Aku mengambil kira apa yang disangkakan hamba Ku pada Ku”.

6.Sentiasa menambahkan ilmu ketuhanan dan ilmu kemahirannya

   Seorang perawat mesti memperuntukkan masanya untuk menuntut ilmu terutama ilmu agama. Ilmu agama menjadikan seseorang bermotivasi, dinasihati dan terarah dalam membawa hidupnya menuju Allah. Jangan sisihkan surau dan masjid kerana di situlah link kita menuju syurga Allah. Seorang perawat juga jangan berpuas hati dengan ilmu perawatannya yang sedia ada. Dia perlu meningkatkan lagi tahap keilmuannya dan pengalamannya kearah lebih mendepani massa. Penyakit berubah-ubah mengikut zaman maka ilmu perawatan juga serupa. Adalah sangat bahaya, sekiranya seorang itu merawat tetapi dia tidak pernah belajar atau bukan ahlinya

Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang mengamali bidang perawatan, sedangkan orang itu bukan ahli dalam bidang  tersebut, , maka dia bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu yang tidak elok pada pesakit (kerugian pesakit)."  (HR. Abu Dawud 4586, As-sohihah 635).

7.Banyak bermohon ‘Redho’ dan ‘Rahmat’ Allah dalam bidang rawatan ini

  Menganggap bidang rawatan dan kedoktoran ini suatu bidang yang sangat mulia kerana manafaatnya yang sangat banyak

Nabi SAW bersabda "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain." (Dikeluarkan oleh ad-Daruqutni, as-sohihah 426).

8. Perbanyakkan munajat dan bertawasul dengan amalan soleh

   Munajat adalah penghambaan kita pada Allah dan ia adalah ciri-ciri hamba Allah yang soleh. Bertawasul dengan amalan pula adalah bukti pengharapan kita kepada yang Maha Berkuasa dan Pentadbir Alam Semesta. Rasa dan jiwa inilah yang akan menjadikan seorang perawat berlainan dengan perawat yang lain. Ia akan memberi sentuhan rohani yang sangat unik kepada pesakit walaupun bukan dengan kata-kata.

BERSAMBUNG…